Sunday, April 25, 2010

Saturday, April 24, 2010

Dilema Penyu: Pemeliharaan dan Pemuliharaan Penyu Satu Amanah





PENYU KHAZANAH RAKYAT


PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN PENYU SATU AMANAH

Penyu laut termasuk ke dalam kelompok reptilia yang mempunyai daerah jelajah yang sangat luas yang mendiami laut tropis dan subtropis di seluruh dunia. Penyu laut diperkirakan telah menghuni bumi ini lebih dari 100 juta tahun. Oleh kerana itu penyu laut dikenali sebagai fosil hidup Terdapat 7 spesies penyu di dunia iaitu Penyu hijau (Chelonia mydas), Penyu sisik (Eretmochelys imbricata), Penyu Kemp’s ridley (Lepidochelys kempi), Penyu lekang (Lepidochelys olivacea), Penyu belimbing (Dermochelys coriacea), Penyu pipih (Natator depressus) dan Penyu tempayan (Caretta caretta).


Penyu laut telah mengalami penurunan yang dramatis dalam jumlah populasi dalam jangka waktu terakhir ini. Bahkan beberapa spesies terancam kemusnahan dalam waktu yang dekat. Di alam, penyu-penyu yang baru menetas menghadapi ancaman kematian dari haiwan-haiwan seperti kepiting, burung, dan reptilia lainnya seperti biawak.Pembangunan daerah pesisir yang berlebihan telah mengurangi habitat penyu untuk bersarang. Penangkapan penyu untuk diambil telur, daging, kulit, dan cengkerangnya telah membuat populasi penyu berkurang. Di beberapa negara, penduduk masih mengambil telur penyu untuk digunakan. Telur-telur itu dapat ditemui di pasar.

Di Indonesia, daerah Bali, penyu hijau termasuk penyu yang dimanfaatkan secara berlebihan oleh para penduduk. Mereka dibunuh untuk diambil dagingnya. Selain itu, mereka menggunakan penyu dalam upacara-upacara adat mereka. Ribuan penyu telah terbunuh untuk memenuhi permintaan pasar di Bali. Begitu juga halnya di Australia, penyu hijau diburu untuk diambil dagingnya dan dijadikan sumber pendapatan. Tidak jauh bezanya di Malaysia, pengutipan telur secara haram, penggunaan peralatan perikanan yang boleh memudaratkan penyu sama ada memusnahkan habitat atau tempat makan penyu, pencemaran serta pembangunan pantai dan aktiviti pelancongan yang di luar kawal telah menyebabkan penyu mati dan mengurangkan pendaratan penyu di pantai.
Begitulah dramatisnya ancaman yang melanda spesies penyu. Tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti manusia merupakan penyumbang terbesar kepada penurunan populasi penyu. Manusia sebagai makhluk yang berakal haruslah menggunakan akalnya dengan rasional dan bijak dalam menangani pelbagai masalah lebih-lebih lagi masalah yang timbul daripada tangan sendiri. Dengan kata lain, tragedi penyu hampir pupus adalah disebabkan sebahagian aktiviti manusia, maka manusia merupakan badan yang paling bertanggungjawab mencari jalan penyelesaiannya.


Penyu sebagai makhluk Allah s.w.t berhak dipelihara dan dilindungi daripada sebarang ancaman. Hadis Nabi s.a.w bermaksud setiap amal kebajikan yang dilakukan terhadap makhluk selain daripada manusia akan diberi ganjaran pahala. Dapatlah disimpulkan bahawa flora dan fauna berhak dihormati dan dilindungi oleh manusia. Setiap amal kebajikan yang dilakukan terhadap makhluk-makhluk Allah s.w.t akan dibalas dengan pahala di sisi Allah s.w.t. Justeru, kita perlu mencari jalan penyelesaian bagi menghalang penurunan populasi penyu semakin parah. Kebelakangan ini, manusia begitu sibuk mengagungkan hak-hak mereka, tetapi terlupa akan hak-hak flora dan fauna yang semakin terdesak. Amat menyedihkan. Hakikatnya, manusia mempunyai kedudukan yang tertinggi berbanding makhluk-makhluk lain dunia ini. Apakah yang membezakan antara manusia dan makhluk-makhluk lain? Mudah sekali, sudah tentulah kerana status akal yang dimiliki manusia yang begitu tinggi nilainya. Namun sayang, manusia tidak menggunakan anugerah Yang Maha Agung itu dengan bijaksana malah merosakkannya.


Dari surah Al-Ahzab ayat 72 bermaksud “ Sesunguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi, dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikulllah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh”. Berdasarkan ayat tersebut makhluk-makhluk lain tidak sanggup memikul tanggungjawab untuk memelihara dan mengawasi alam ini. Manusia telah diberi amanah untuk melaksanakan tugas-tugas agama yang mencakupi semua aspek kehidupan termasuklah penjagaan alam sekitar yang merangkumi tumbuh-tumbuhan dan haiwan di dunia ini. Melihatkan fenomena yang berlaku terhadap penyu pada abad ini, gerak kerja ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan spesies haiwan tersebut mestilah diusahakan dalam menyahut tanggungjawab sebagai khalifah Allah s.w.t. Perlu ditekankan di sini bahawa usaha ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan flora dan fauna adalah satu kewajipan umat Islam sama ada individu ataupun masyarakat. Berdasarkan surah Al-Ahzab tadi ia juga menggambarkan sikap manusia yang zalim dan bodoh dalam memerintah dunia ini. Menyedarkan hakikat ini, manusia haruslah sedar akan tanggungjawab sebenar mereka dalam mentadbir dunia ini. Mengubah sesuatu daripada yang buruk kepada yang baik itu adalah satu amanah.


Di Australia, Mon Repos Conservation Park merupakan tempat pelancongan yang membolehkan para pengunjung melihat penyu (turtle-based tourism). Ia terletak di pantai kota kecil di Bargara bahagian utara Queensland berhampiran Bundaberg. Mon Repos Conservation diuruskan oleh Queensland Parks and Wildlife Service (QPWS). Para pengunjung dibawa ke tepi pantai pada waktu malam untuk melihat penyu dibawah pengawasan renjer-renjer QPWS. Setiap kumpulan tidak melebihi 70 orang. Penggunaan lampu suluh dilarang sama sekali dan pengunjung sentiasa dibimbing bagi mengelakkan kesan buruk terhadap penyu-penyu tersebut. Kakitangan QPWS akan menerangkan proses penyu bertelur, penyampaian audio-visual tentang cara penetasan telur penyu, sejarah penyu, biologi dan evolusi, kajian penyu laut dan masalah-masalah pemeliharaan penyu. Apa yang dibawakan oleh Mon Repos Conservation Park ialah pusat pelancongan penyu yang memberi faedah ekonomi negara dan pada masa yang sama mendidik manusia memelihara penyu daripada kemusnahan. Malaysia patut mencontohi Australia dalam pendekatan ke arah baik pulih populasi penyu malah dapat meningkatkan taraf ekonomi negara dalam sektor pelancongan. Negeri Terengganu patut diberi perhatian dalam hal ini. Berbicara dari segi konteks negeri Terengganu khasnya, penyu haruslah dilindungi dek penangannya yang begitu harum di persada Terengganu suatu masa dahulu. Penyu merupakan simbol kebanggaan rakyat tempatan apabila beribu-ribu ekor penyu menetas dari sarangnya di Terengganu. Kini, semuanya tinggal dalam lipatan sejarah. Penyu merupakan simbolik haiwan yang begitu sinonim dengan negeri Terengganu Darul Iman. Apa yang paling menyedihkan sekarang ialah, spesies penyu hampir pupus sekaligus memudarkan keindahan sejarah kegemilangan penyu di Terengganu.


Perbincangan dan kajian yang menyeluruh amat penting untuk mencapai penyelesaian yang berkesan. Langkah pemindaan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perlindungan spesies penyu amatlah memainkan peranan saat ini. Undang-undang yang sedia ada tidak mencukupi bagi membanteras kegiatan haram terhadap populasi penyu. Pelaksanaan undang-undang juga satu titik yang penting bagi perjalanan menuju kejayaan sesuatu undang-undang. Undang-undang tanpa pelaksanaan yang menyeluruh hanya meninggalkan harapan dalam mimpi. Dapat dikiaskan di sini, ilmu tanpa amal tiadalah berguna. Undang-undang tanpa pelaksnaan amatlah rugi.


Membuka lembaran Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010 (RMKe-9), isu-isu penjagaan alam sekitar diberi penekanan. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan, penerapan pertimbangan alam sekitar dalam perancangan dan pembangunan dipertingkatkan. Pelbagai usaha mempromosi pembangunan mampan telah menempatkan Malaysia di kedudukan ke-38 di kalangan 146 negara di dunia dan kedua di Asia dari segi kemampanan alam sekitar. Di samping itu, Kajian Indeks Prestatsi Alam Sekitar meletakkan Malaysia di kedudukan ke-9 daripada 133 negara dari segi usaha untuk mengurangkan tekanan persekitaran ke atas kesihatan manusia dan memelihara daya hidup ekosistem. Manakala RMKe-9, penjagaan alam sekitar akan terus digalakkan untuk memastikan keseimbangan antara keperluan pembangunan dengan alam sekitar dikekalkan.


Langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan negatif ke atas alam sekitar, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan diberi tumpuan yang lebih bagi memastikan objektif penjagaan alam sekitar tercapai. Jelasnya, Malaysia begitu mementingkan penjagaan alam sekitar. Pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar mestilah seimbang bagi mencapai kualiti hidup yang unggul. Keindahan dan kecantikan alam sekitar terjaga rapi di samping pembangunan yang sihat. Sesuai dengan objektif RMKe-9, kajian yang mendalam terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan penyu adalah relevan pada masa ini. Usaha memelihara populasi penyu adalah salah satu agenda penjagaan alam sekitar. Maka, tidak patutlah jika kajian pemeliharaan penyu diabaikan. Justeru, pihak kerajaan haruslah menyahut cabaran ini. Kerjasama daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan atau sesiapa sahaja yang dapat membantu merealisasikan hasrat pemeliharaan dan pemuliharaan penyu laut amatlah digalakkan.


Golongan profesional dalam pelbagai bidang juga penting dalam melontarkan idea-idea yang bernas. Contohnya, badan-badan peguam berperanan dalam mengkaji dan mencadangkan undang-undang yang berkesan dalam menangani kegiatan haram pihak yang tidak bertanggunjawab memusnahkan habitat penyu, mengambil telur dan daging penyu. Para arkitek dapat membantu mencari idea dari segi pembinaan di pesisir pantai yang tidak akan menjejaskan habitat penyu dan menakutkan penyu untuk bertelur di pantai. Ahli biologi pula berfungsi dalam proses kaedah dan cara memelihara dan memulihara penyu. Manakala ahli ekonomi mencadangkan projek pemasaran yang berteraskan pelancongan sambil belajar tentang penyu yang dapat meningkatkan taraf ekonomi negara seperti halnya di Australia.


Masyarakat juga memainkan peranan yang penting bagi melindungi spesies penyu laut. Contohnya,masyarakat haruslah tidak menggunakan barang-barang yang diperbuat daripada cengkerang penyu seperti bingkai kacamata, tidak membeli makanan yang berasal daripada penyu, tidak membuang sampah plastik dan benda-benda lain yang berbahaya ke dalam laut. Penyu mungkin tersalah menganggap plastik sebagai makanan mereka iaitu ubur-ubur sehingga menyebabkan sakit atau kematian penyu yang memakannya. Masyarakat juga hendaklah mengelakkan daripada mengganggu penyu yang sedang bertelur kerana mereka dapat menghentikan proses bertelur apabila merasa terancam, tidak mengambil telur-telur penyu kerana akan menghancurkan populasi mereka, menjaga kesihatan terumbu karang yang merupakan tempat makan dan tempat tinggal yang baik untuk penyu serta turut mendukung program pemeliharaan dan pemuliharaan penyu laut.


Kesimpulannya, semua pihak mestilah bersatu demi mencapai hasrat yang murni di dalam usaha memelihara dan memulihara spesies penyu laut. Pelaksanaan sesuatu urusan akan menjadi mudah apabila semua pihak berganding bahu memainkan peranan masing-masing dan saling membantu. Perancangan untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan masyarakat amatlah penting. Jiwa yang menyedari dan menghayati peranannya akan membawa kepada satu pelaksanaan kerja daripada hati yang ikhlas dan suci. Pihak media memainkan peranan dalam menyebarkan ilmu pengetahuan tentang penyu dan melancarkan kempen memelihara penyu. Apa yang diharapkan ialah usaha pemeliharaan dan pemuliharaan penyu akan berterusan sama ada daripada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan, pihak swasta, individu dan masyarakat amnya.

Hakcipta Terpelihara

Destinasi Pelancongan di Terengganu


Warisan, Budaya dan Seni

Kesegaran bahan semulajadi

Ketenangan saujana mata memandang

Keunikan Terengganu

Terengganu merupakan sebuah negeri yang kaya dengan keindahan alam semulajadi..Malah Terengganu juga kaya dengan